Travelog Isu Semasa Tradisi Home

Friday, 23 December 2016

BBK3410 : Travelog ke Kampung Orang Asli

Alhamdulilah. Masih berkesempatan untuk saya bercoret kembali dalam ruang yang permai ini.

Travelog perjalanan pada kali ini begitu menujahkan detik rasa kasih untuk terus bersyukur.  Ke mana aku mengembara pula? Apa kasih yang ingin aku rungkaikan ini?

Kampung Leryar, Cameron Highlands. Ya, sebuah perkampungan orang asli. Menjadi sebuah bingkisan yang aku coretkan di sini. Kenangan selama 3 hari 2 malam itu begitu memberi impak besar dalam diri yang kerdil ini. Sekumpulan anak kecil berjantina lelaki yang tidak beralas selipar memijakkan kaki di permukaan lopak air lalu menuju ke arah bas UPM.  Setibanya kami disana,hujan turut membasahi Kg. Leryar ini. Perjumpaan bersama Tok Batin Kapal begitu membuatkan aku melemparkan senyuman indah. Tok Batin memberi peluang kepada  segelintir pelajar untuk merasai dan memberi peluang untuk mereka mempunyai keluarga angkat disana. Dingin petang membuatkan perut kami semua bagai bermain lagu keroncong. Mujur ketua fasilitator kami mengadakan aktiviti rewang untuk kami masak bersama. Keakraban kami ini yang membuatkan aku sungguh rindu.
Persekitaran perkampungan Kg. Leryar


Rumah penduduk orang asli

Rumah penduduk Orang Asli (tradisional)


Pagi hari kedua ini begitu mendamaikan. Menghirup udara segar sambil berjalan pusing kampung ditemani rakan-rakan begitu mengasyikkan. Melihat telatah sabahat yang begitu teruja melihat anak ayam, melihat sungai yang mempunyai batu besar dan macam-macam lagi. Kelihatan suri rumah yang mula membersihkan kawasan rumah mereka. Mereka begitu ramah. Berjumpa pula dengan penjual nasi lemak, Kak Ina. Beliau bukanlah orang asli, namun dari situ aku belajar cara untuk mendekati dan memahami budaya orang asli ini. Bergerak ke waktu petang, kami mengadakan sukaneka bersama penduduk kampung. Senyuman mekar tatkala mereka bermain pelbagai permainan yang disediakan. Semangat ukhuwah mereka amat terserlah. Tidak kurang hebatnya si anak kecil. Namun, pada senja petang kelihatan ramai penduduk yang berpusu ke jalan besar yang katanya ada kemalangan berlaku. Apabila ditanya bagaimana mereka tahu akan kemalangan tersebut. Menurut mereka seperti mereka mempunyai naluri tersendiri. Ya, mereka tidak punya telefon bimbit canggih mahupun sebarang alat komunikasi untuk berhubung dari jarak jauh, Namun apa yang menghubung rapatkan mereka adalah naluri hati. Sungguh aku segani.

Aktiviti bersama anak Orang Asli

Aktiviti bersama anak Orang Asli

Bergerak pulang ke UPM merupakan saat yang mendukacitakan. Namun, perpisahan masih perlu diteruskan. Bergambar di dalam majlis penutupan itu, aku berasa sayu. Setelah melihat teletah penduduk kampung yang begitu ceria setelah mendapat baju hasil kutipan sumbangan kami semua, aku terasa bahagia melihat mereka. Satu perasaan syukur yang aku akan simpan dalam memori ini. Pengembaraan  ke Kg. Leryar Cameron Highlands ini begitu melahirkan sifat kasih sayang antara manusia dan penciptaNya. Tiada beza antara kita dan mereka. 

Gambar bersama fasilitator dan rakan.

Jelas aku rindu.

Sekian,
Siti Kalsum :)

2 comments:

  1. Saya nak bertanyakan tentang aktivit sukan, boleh saya tanya cik?
    nak dapatkan idea utk sukaneka di kampung leryar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berdasarkan pengalaman saya, mereka suka sekiranya ada buat koraoke dan sukaneka.

      Delete