Bismillah.
Syukur ke hadrat Illahi kerana masih berpeluang untuk saya
menyambung entri pada kali ini. Alhamdulilah. Semoga kalian semua berada dalam
keadaan yang sihat. Amin.
Baiklah, untuk entri kali ini, apa pula yang akan saya bawa?
Kali ini izinkan saya berkisar tentang budaya rewang. Pasti ada yang pernah dan
juga tidak pernah mendengarnya.
Sebenarnya rewang ini berasal dari bahasa jawa yang membawa maksud
beramai-ramai membanting tulang bergotong-royong dalam menyediakan persiapan
sesuatu majlis. Selalunya majlis yang memerlukan kerja rewang adalah majlis
perkahwinan, sambut menantu, cukur jambul dan banyak lagi. Kerja rewang ini
selalunya dilakukan beberapa hari sebelum majlis berlangsung.
Pernah juga saya melibatkan diri dalam budaya rewang ini. Memandangkan
saya duduk di kawasan FELDA yang masih mengamalkan amalan rewang ini, saya
tetap mengambil peluang untuk merasai sendiri pengalaman semasa budaya rewang.
Biarpun penat, namun pengalaman indah sentiasa mekar dalam memori ini. Pada
pendapat saya, budaya rewang ini mempunyai tiga peringkat.
Pada peringkat pertama, dimana jiran-jiran sudah mula datang
pada awal pagi untuk mengupas bawang, memotong nenas dan membuat penyediaan untuk
menu semasa majlis kahwin berlangsung.
Bahagian lelaki pula ada yang memotong daging, membasuh ayam dan menyediakan perkakas untuk masak. Kelihatan suasana riuh celoteh mereka sambil rewang.
Pada peringkat kedua pula adalah semasa majlis berlangsung.
Sekiranya pada majlis perkahwinan, beberapa orang yang menjaga di bahagian
pintu masuk untuk menyambut kedatangan
tetamu atau lebih dikenali sebagai “penanggah”. Selain itu, terdapat
juga segelintir yang menjaga di bahagian lauk pauk, air minuman dan mengemas
meja. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan berada di bahagian belakang untuk
membasuh pinggan dan cawan yang sudah dipakai. Selain itu, terdapat juga
sebahagian golongan wanita yang akan menyediakan berkat (goodies) untuk para tetamu.
Pada peringkat ketiga pula adalah selepas majlis
perkahwinan. Pada peringkat ini, tuan rumah memainkan perana dimana mereka akan
menyediakan bubur sum-sum untuk diberi kepada ahli rewang. Kata orang tua-tua,
bubur sum-sum itu adalah untuk menghilangkan rasa penat setelah kerja rewang.
Benar, saya juga suka dengan bubur sum-sum ini.
Namun, sejak kebelakangan ini ada juga yang memilih
perkhidmatan katering berbanding budaya rewang yang sememangnya mempunyai nilai
murni seperti merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat setempat. Ia
bergantung kepada individu tersebut. Sesungguhnya budaya rewang ini amat
menarik dan patut dikekalkan agar generasi muda zaman kini tahu akan wujudnya
budaya rewang ini. Anda pula bolehlah merasai budaya rewang nanti.
Sekian,
Siti Kalsum :)
No comments:
Post a Comment