Travelog Isu Semasa Tradisi Home

Saturday, 24 December 2016

BBK3410 : Isu Semasa; Nahas Kemalangan Bas

Bismillah :)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Pada kali ini, ingin saya menyampaikan salam takziah kepada nahas kemalangan bas di Muar pada 24 Disember 2016. Alfatihah.

Apa yang membuatkan saya berkisah tentang kisah ini adalah kerana saya terasa dekat dengan tragedi ini. Saya acap kali menggunakan perkhidamatan bas semenjak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) memandangkan saya berasal dari selatan. Oleh itu, sedikit sedutan berita kemalangan tersebut:

MUAR 24 Dis. – Syarikat pemilik bas ekspres Alisan Golden Coach yang terlibat dalam nahas sehingga mengorbankan 14 nyawa di Kilometer 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, dekat sini pagi ini akan memberi bantuan yang diperlukan mangsa. Menurut Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Muar ASP Suhaimi Ahmad menyatakan seramai 11 warga tempatan (lima lelaki, enam perempuan), dua wanita warga Singapura serta seorang lelaki lagi yang belum dikenal pasti telah maut dalam nahas tersebut.


Berita ini sungguh memilukan dan menyedihkan. Berdasarkan bacaan saya, ada kisah yang ingin saya selitkan tentang pemergian salah seorang mangsa maut nahas kemalangan bas tersebut.

MUAR 24 Dis. – “Rasa macam nak pergi jauh je, padahal takde la jauh, dekat je. Minta halalkan makan minum selama perkenalan kita.” Demikian pesanan terakhir seorang mangsa yang maut, Nur Amira Izzaty Mohd. Razip, 22, kepada tunangnya, Haripadli Manurun Ramlan, 26, melalui aplikasi WhatsApp sebelum bas ekspres dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 137.3 Lebuh Raya Utara Selatan di Kampung Jayor, Pagoh, dekat sini awal pagi ini. 

Jelas saya terasa dengan perkara ini.Ya betul. Ajal itu pasti. Saya bagaikan faham akan perasaan yang dihadapi oleh mereka sekeluarga yang kehilangan orang yang disayangi. Saya juga pernah mengalami dan merasai perasaan itu saat kehilangan kedua ibu bapa saya. Perasaan pilu itu amat memedihkan. Namun, saya redha dan akur dengan setiap ujian yang diberikan. Pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

Sesungguhnya, Allah akan menguji kita mengikut kemampuan hambaNya. Semakin kuat agama seseorang itu, semakin hebat ujiannya. Kerana ujian adalah tarbiah dari Allah. Maka, jangan pernah menyerah walaupun merasa ujian itu berat. Wallahu a'lam.

Sekian,
Siti Kalsum :)

BBK3410 : Budaya Rewang

Bismillah.

Syukur ke hadrat Illahi kerana masih berpeluang untuk saya menyambung entri pada kali ini. Alhamdulilah. Semoga kalian semua berada dalam keadaan yang sihat. Amin.


Baiklah, untuk entri kali ini, apa pula yang akan saya bawa? Kali ini izinkan saya berkisar tentang budaya rewang. Pasti ada yang pernah dan juga tidak pernah mendengarnya.  Sebenarnya rewang ini berasal dari bahasa jawa yang membawa maksud beramai-ramai membanting tulang bergotong-royong dalam menyediakan persiapan sesuatu majlis. Selalunya majlis yang memerlukan kerja rewang adalah majlis perkahwinan, sambut menantu, cukur jambul dan banyak lagi. Kerja rewang ini selalunya dilakukan beberapa hari sebelum majlis berlangsung.

Pernah juga saya melibatkan diri dalam budaya rewang ini. Memandangkan saya duduk di kawasan FELDA yang masih mengamalkan amalan rewang ini, saya tetap mengambil peluang untuk merasai sendiri pengalaman semasa budaya rewang. Biarpun penat, namun pengalaman indah sentiasa mekar dalam memori ini. Pada pendapat saya, budaya rewang ini mempunyai tiga peringkat.

Pada peringkat pertama, dimana jiran-jiran sudah mula datang pada awal pagi untuk mengupas bawang, memotong nenas dan membuat penyediaan untuk menu semasa majlis kahwin berlangsung.
Bahagian lelaki pula ada yang memotong daging, membasuh ayam dan menyediakan perkakas untuk masak. Kelihatan suasana riuh celoteh mereka sambil rewang.



Pada peringkat kedua pula adalah semasa majlis berlangsung. Sekiranya pada majlis perkahwinan, beberapa orang yang menjaga di bahagian pintu masuk untuk menyambut kedatangan  tetamu atau lebih dikenali sebagai “penanggah”. Selain itu, terdapat juga segelintir yang menjaga di bahagian lauk pauk, air minuman dan mengemas meja. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan berada di bahagian belakang untuk membasuh pinggan dan cawan yang sudah dipakai. Selain itu, terdapat juga sebahagian golongan wanita yang akan menyediakan berkat (goodies) untuk para tetamu.

 Pada peringkat ketiga pula adalah selepas majlis perkahwinan. Pada peringkat ini, tuan rumah memainkan perana dimana mereka akan menyediakan bubur sum-sum untuk diberi kepada ahli rewang. Kata orang tua-tua, bubur sum-sum itu adalah untuk menghilangkan rasa penat setelah kerja rewang. Benar, saya juga suka dengan bubur sum-sum ini.


Namun, sejak kebelakangan ini ada juga yang memilih perkhidmatan katering berbanding budaya rewang yang sememangnya mempunyai nilai murni seperti merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat setempat. Ia bergantung kepada individu tersebut. Sesungguhnya budaya rewang ini amat menarik dan patut dikekalkan agar generasi muda zaman kini tahu akan wujudnya budaya rewang ini. Anda pula bolehlah merasai budaya rewang nanti.

 Sekian,
Siti Kalsum :)

BBK3410 : Juadah Cucur Badak

Bismillah.


Alhamdulilah masih lagi kita bersua dalam satu sesi dimana saya ingin berkongsi satu juadah enak. Andai saya boleh memasukkan seketul kuih cucur badak dalam mulut lalu sampai ke ruang perut yang sedang berkeroncong lajunya. Ah enak sungguh. Sejujurnya sudah lama saya mencari kuih ini di sekitar UPM, Tetapi nasib tidak menyebelahi saya.

Oleh itu, pada cuti ulangkaji yang lalu, ada saya beritahu kepada akak ipar saya tentang hal ini. Pada keesokkanya, dia membeli keledek dan abang pula mula memarut kelapa di belakang rumah. Pada awalnya saya berasa mereka akan masak kuih untuk dijual. Kemudian akak ipar saya panggil dan menyuruh saya menolongnya membuat cucur badak kegemaran saya. Masih terasa hangatnya cucur badak yang dimakan pada petang itu bersama air teh. 


Banyak cara untuk membuat cucur badak ini. Lain orang, lain resepinya.Namun disini saya ada sediakan cara yang mudah untuk membuat cucur badak. Cucur badak ini yang menjadi tumpuannya adalah inti yang penuh dengan rasa pedas-pedas manis lalu diapit dengan gelekan keledek yang lembut apabila digoreng. Jadi, bolehlah mencuba.

Inti cucur badak 
Bahan-bahan:-

Untuk inti:
½ biji kelapa parut
100 gram udang kering (rendam dan kisar)
1 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 tangkai lada merah
1 cm halia
1 batang serai
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan gula
½ sudu teh garam
2 sudu makan minyak masak

Untuk doh :
250 gram keledek (rebus dan lenyek)
3 ½ sudu makan tepung gandum
½ sudu teh garam
½ kg minyak masak (untuk menggoreng)

Cara-cara :-
Untuk inti:
1) Panaskan minyak. Masukkan semua bahan yang telah dikisar. Masak hinggamenggelegak.
2) Masukkan kelapa. Kacau rata. Tutup api dan ketepikan.

Untuk kuih :
1) Gaul rata semua bahan doh kecuali minyak masak membentuk doh. Tambahtepung sedikit demi sedikit sekiranya doh lembik dan melekat.
2) Ambil sedikit doh dan bentukkan bulat sebesar bola golf. Isikan inti di tengah tengahnya.
3) Sementara itu panaskan minyak di dalam kuali.
4) Goreng doh yang telah diisi inti sehingga keemasan. Angkat dan tos.

Selamat mencuba.

Sekian,
Siti Kalsum :)

BBK3410 : Dunia Kreatif Sastera

Bismillah

Di kesempatan ini, saya berpeluang untuk menulis lagi. Minat saya terhadap bidang penulisan ini semakin mendalam. Akhir-akhir ini banyak saya habiskan masa lapang dengan membaca beberapa cerpen sastera yang penuh dengan nilai estetik yang tinggi. Sesungguhnya benar saya semakin cinta dengan bidang ini.

Ingin saya berkongsi satu daripada beberapa buah novel yang telah saya baca. Pada awal kejinakkan saya dalam bidang pembacaan novel adalah pada usia 13 tahun. Saya mula membaca novel berjudul “Andai ItuTakdirnya”. Novel pertama yang saya baca, juga novel pertama yang berjaya melembutkan hati seorang Siti Kalsum ini menjadi tisu. Kemudian mulalah saya membaca novel dari penerbit Kaki Novel. Namun, bukan ini yang ingin saya ketengahkan. 

Apa yang ingin saya kongsikan adalah sebuah novel tulisan Halis Azhan yang berjudul “ Syurga Kasih di Kaki Pelangi”. Judul yang penuh dengan misteri ini benar menarik minat saya untuk membacanya.  Apabila berkisar tentang pelangi, pasti akan membawa kepada kebahagiaan, kemurnian dan kecintaan sebenar. Begitu juga dengan syurga yang pastinya akan membawa kepada kesucian dan senyuman indah mekar selamanya. Unsur estetika dalam novel ini jelas terlihat dalam peralihan plot yang begitu indah. Watak bernama Erni Aflina juga begitu rapat dengan diri ini. Selain itu, latar tempat yang disuarakan dalam novel ini juga amat mengimbau kembali saat di bangku sekolah. Watak antagonis yang disampaikan juga begitu memberi kesan dalam diri ini. Sungguh saya geram dengan watak tersebut.

Seterusnya, bahasa yang disampaikan juga mudah difahami dan membuatkan saya ingin terus membaca. Sungguh saya gemar. Warna kulit novel yang biru dan terdapat jambakkan bunga berwarna merah jambu itu jelas memberi suntikan untuk saya membacanya. Warna kulit buku yang cantik seiring dengan jalan ceritanya yang menarik dan penuh debaran biarpun kesulitan sering menimpa Erni Aflina.

Kesimpulannya, saya begitu tertarik dengan penceritaannya dan berharap agar ia dapat memberi inspirasi untuk kita terus mengembangkan dan membaca karya sastera seperti novel ini.


Sekian,

Siti Kalsum :)

Friday, 23 December 2016

BBK3410 : Permainan Tradisional (Batu Seremban)

Bismillah.


Assalamualaikum dan salam sejatera semua. Semoga kalian berada dalam lindungan Illahi. Amin.

Berkisar mengenai batu seremban. Ya, sebuah permainan tradisional yang begitu mengingatkan kita zaman kanak-kanak. Bermain batu seremban selalu dikaitkan dengan budak perempuan, tetapi sebenarnya tidak kurang hebat si anak lelaki. Saya berpeluang untuk merasai batu seremban bersama rakan-rakan semasa dibangku sekolah rendah. Amat menggamit memori.

Menggunakan batu

Menggunakan buah yang sudah di variasikan

Terdapat pelbagai jenis buah beserta
 tempat simpan yang menarik


Batu seremban atau boleh juga dikenali sebagai Batu Selambut atau Serembat. Pada kebiasaannya, batu seremban ini dimain secara berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Objek (buah/bundu) seperti guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil yang sederhana kecil atau objek lain yang berbentuk bulat juga boleh digunakan dalam permainan ini. Batu seremban ini selalunya dimain pada waktu lapang dan dimainkan di dalam rumah atau di serambi rumah. Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Batu seremban ini akan bermula dengan peringkat pertama sehingga ke tujuh.

Cara Bermain
Buah Satu:
·         1.Kesemua buah hendaklah diselerakkan, berkeadaan semua buah tidak menyentuhi satu sama lain.
·        2. Sebiji buah akan dijadikan ibu, dan ibu itu harus dilambungkan ke udara.
·         3.Dalam masa yang sama, sebiji buah di atas lantai harus dikutip.
·         4.Perlakuan begini akan berterusan sehingga semua buah di atas lantai sudah dikutip,
Buah Dua: 
·         1Cara buah dua dimainkan ialah sama seperti buah satu.
·       2  Hanya dua biji buah harus dikutip dengan masa yang sama.
·         3. Ini bermakna, ibu akan dilambungkan sebanyak dua kali sahaja.
Buah Tiga:
·         1.Buah tiga ada sedikit perbezaan.
·         .2.Pada lambungan pertama, hanya satu biji buah akan dikutip.
·        3.Lambungan yang kedua pula, tiga biji buah akan dikutip dengan serentak. 
Buah Empat:
·        1. Buah ibu akan dilambungkan ke udara.
·      2. Pada masa yang sama, pemain harus mengutip kesemua empat biji buah yang berada di lantai dengan serentak.
Buah Lima:
·         1.Buah lima akan dimainkan seperti buah empat.
·         2.Pemain harus melambungkan buah ibu ke udara dan mengutip keempat-empat biji buah diatas lantai dengan serentak.
·        3. Selepas itu, buah ibu harus dilambungkan ke udara dan pada masa yang sama, empat biji buah yang ada di dalam tangan pemain harus diletakkan di atas lantai supaya hanya buah ibu sahaja yang akan disambut. 
Buah Enam:
·         1.Pada peringkat yang ke-enam, pemain akan pendapat sedikit perbezaan.
·         2.Pada peringkat ini, pemain akan mendapat bahawa dua biji buah akan menjadi buah ibu.
·       3.  Apabila sebiji daripadanya dilambung ke atas udara, sebiji lagi buah ibu harus ditukar dengan buah yang lain yang terdapat di atas lantai hingga selesai.
Buah Tujuh:
·         .1Buah tujuh adalah urutan daripada buah enam.
·         2..Dua biji buah yang ada di dalam tangan harus dilambungkan dengan serentak.
·         3Selepas itu, hanya satu biji buah  yang akan dikutip.
·         4.Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua-dua belah tangan.
·         5.Satu di tangan kiri, dan lagi satu di tangan kanan.
·         6.Pada akhirnya, buah ibu yang dilambung terakhir juga akan disambut.
 Sekian,
Siti Kalsum :)


BBK3410 : Travelog ke Kampung Orang Asli

Alhamdulilah. Masih berkesempatan untuk saya bercoret kembali dalam ruang yang permai ini.

Travelog perjalanan pada kali ini begitu menujahkan detik rasa kasih untuk terus bersyukur.  Ke mana aku mengembara pula? Apa kasih yang ingin aku rungkaikan ini?

Kampung Leryar, Cameron Highlands. Ya, sebuah perkampungan orang asli. Menjadi sebuah bingkisan yang aku coretkan di sini. Kenangan selama 3 hari 2 malam itu begitu memberi impak besar dalam diri yang kerdil ini. Sekumpulan anak kecil berjantina lelaki yang tidak beralas selipar memijakkan kaki di permukaan lopak air lalu menuju ke arah bas UPM.  Setibanya kami disana,hujan turut membasahi Kg. Leryar ini. Perjumpaan bersama Tok Batin Kapal begitu membuatkan aku melemparkan senyuman indah. Tok Batin memberi peluang kepada  segelintir pelajar untuk merasai dan memberi peluang untuk mereka mempunyai keluarga angkat disana. Dingin petang membuatkan perut kami semua bagai bermain lagu keroncong. Mujur ketua fasilitator kami mengadakan aktiviti rewang untuk kami masak bersama. Keakraban kami ini yang membuatkan aku sungguh rindu.
Persekitaran perkampungan Kg. Leryar


Rumah penduduk orang asli

Rumah penduduk Orang Asli (tradisional)


Pagi hari kedua ini begitu mendamaikan. Menghirup udara segar sambil berjalan pusing kampung ditemani rakan-rakan begitu mengasyikkan. Melihat telatah sabahat yang begitu teruja melihat anak ayam, melihat sungai yang mempunyai batu besar dan macam-macam lagi. Kelihatan suri rumah yang mula membersihkan kawasan rumah mereka. Mereka begitu ramah. Berjumpa pula dengan penjual nasi lemak, Kak Ina. Beliau bukanlah orang asli, namun dari situ aku belajar cara untuk mendekati dan memahami budaya orang asli ini. Bergerak ke waktu petang, kami mengadakan sukaneka bersama penduduk kampung. Senyuman mekar tatkala mereka bermain pelbagai permainan yang disediakan. Semangat ukhuwah mereka amat terserlah. Tidak kurang hebatnya si anak kecil. Namun, pada senja petang kelihatan ramai penduduk yang berpusu ke jalan besar yang katanya ada kemalangan berlaku. Apabila ditanya bagaimana mereka tahu akan kemalangan tersebut. Menurut mereka seperti mereka mempunyai naluri tersendiri. Ya, mereka tidak punya telefon bimbit canggih mahupun sebarang alat komunikasi untuk berhubung dari jarak jauh, Namun apa yang menghubung rapatkan mereka adalah naluri hati. Sungguh aku segani.

Aktiviti bersama anak Orang Asli

Aktiviti bersama anak Orang Asli

Bergerak pulang ke UPM merupakan saat yang mendukacitakan. Namun, perpisahan masih perlu diteruskan. Bergambar di dalam majlis penutupan itu, aku berasa sayu. Setelah melihat teletah penduduk kampung yang begitu ceria setelah mendapat baju hasil kutipan sumbangan kami semua, aku terasa bahagia melihat mereka. Satu perasaan syukur yang aku akan simpan dalam memori ini. Pengembaraan  ke Kg. Leryar Cameron Highlands ini begitu melahirkan sifat kasih sayang antara manusia dan penciptaNya. Tiada beza antara kita dan mereka. 

Gambar bersama fasilitator dan rakan.

Jelas aku rindu.

Sekian,
Siti Kalsum :)

Wednesday, 26 October 2016

BBK3410 : Dunia Indah Sastera

Bismillah :)

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera. Diharap semuanya diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindungan-Nya. Amin. Baiklah, untuk entri kali ini saya akan membincangkan tentang pandangan terhadap dunia kesusasteraan Melayu muktahir.

Pasti ada yang tertanya. Apa sebenarnya yang dikatakan dengan kesusasteraan?
  • Menurut Prof. Dr. Hasyim Awang, Artikel Akademik, hal.2 menyatakan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Kesusasteraan terbentuk dari akar kata, susastera (Bahasa Sanskrit) + ke-an (kesusasteraan). 
    • Su (indah, baik, lebih bermakna)
    • Sastera (huruf atau buku)
    • Susastera + ke-an (kesusasteraan) : Kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya.
Bercerita tentang kesusasteraan Melayu, saya terimbau kenangan semasa STPM. Saya mengambil subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) dan Pendidikan Seni Visual selain daripada 2 subjek yang wajib di ambil iaitu Pengajian Am dan Bahasa Melayu. Ketika saya mempelajari KMK saya perlu membeli dua buah buku yang iaitu Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dan Saudagar Besar Dari Kulala Lumpur. Saya agak terkesima saat mula membelek buku itu, kerana didapati bahasa yang digunakan agak klasik dan ada perkataan yang tidak saya fahami. Disitu membuatkan saya lebih ingin mengetahui apa sebenarnya yang ingin diketengahkan dalam buku itu.



Disini, saya ingin mengkhususkan tentang buku Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (SBDKL). Apa yang menarik? Banyak yang menarik sebenarnya. Walaupun sudah hampir 2 tahun saya meninggalkan kisah ini, namun ianya masih mekar dalam ingatan saya. Sedikit perkongsian nilai kemanusiaan yang saya perolehi daripada SBDKL, antaranya ialah:
  1. Nilai pemurah
  2. Nilai simpati dan belas kasihan
  3. Nilai menghormati orang tua
  4. Nilai kerjasama
  5. Masyarakat yang penyayang
  6. Nilai keagamaan dan moral
Sesungguhnya, ingin saya tekankan disini bahawa dengan wujudnya kesusasteraan Melayu ini, dapat kita menguatkan nilai yang boleh diterapkan dalam diri menerusi karya sastera yang dibaca. Penting untuk kita mempelajari ilmu yang baharu. Jangan kita alpa akan kesusasteraan Melayu. Hal ini demikian kerana, pembaca akan dapat menimba pengamalan meskipun tidak mengalaminya sendiri. Seperti dalam SBDKL, dengan adanya nilai yang dinyatakan pembaca pastinya akan mengambil input tersebut.

Kesimpulannya, pembacaan karya sastera ini bukanlah satu perkara yang membosankan sebaliknya ianya adalah satu perkara yang memberi banyak faedah dan ilmu yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Kerana Saidina Abu Bakar pernah berkata : Terdengar Saidina Abu Bakar akan ucapan Nabi Muhammad: Barangsiapa yang menuntut walau satu bab ilmu sahaja pun, nescaya Allah menjanjikannya sehelai selendang kemuliaan.

Jadi, marilah kita sama-sama memajukan dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.

Sekian,
Siti Kalsum :)