Bismillah :)
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulilah,
dapat juga saya sambung menulis pada entri kali ini. Baiklah, pada entri kali
ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang travelog perjalanan saya bersama
keluarga tercinta di sebuah negeri yang penuh dengan sejarahnya. Cuba anda
teka? Ya, tidak lain tidak bukan, Melaka. Saya dan
keluarga berpeluang untuk melawati negeri bersejarah ini pada tahun lepas. Sesungguhnya
memang banyak tempat yang menarik yang perlu dilawati sekiranya anda belum
menjejakkan kaki ke Melaka. Saya amat teruja dengan keindahan di Melaka. Saya selitkan sedikit mengenai latar belakang
Melaka, agar kita tahu tentang negeri Melaka.
Melaka merupakan sebuah
bandaraya warisan dunia. Nama Melaka asalnya dari pohon tempat bersandarnya
Parameswara sewaktu melihat anjing buruannya ditendang oleh seekor pelanduk
putih. Begitulah datangnya keunikkan nama Melaka ini.
Baiklah, bercerita
tentang Melaka. Apa yang menarik? Apa yang menjadi daya tarikan pelancong luar?
Pelbagai. Ya, banyak tempat yang boleh kita jadikan sebagai kenangan di sana. Banyak
tempat yang saya lawati dan kini segala pengalaman indah itu saya semat sebagai
memori indah bersama keluarga.
Saya bertolak pada waktu petang daripada Johor Bahru ke Melaka dengan menaiki
kereta, bersama 3 keluarga kecil abang dan akak saya. Dalam perjalanan,
bertemankan keriuhan anak saudara saya, cukup membuatkan hati ini bagai terukir
senyuman yang lama saya pendam setelah pemergian kedua ibu bapa saya.
Al-fatihah.
Sejurus sampai ke
destinasi, kami terus mencari alamat yang diberikan oleh pengusaha inap desa.
Kakak saya yang menguruskan bahagian penginapan kami. Mulanya, kami cari di
aplikasi waze, tetapi tidak jumpa. Kami juga tidak dapat menghubungi nombor yang diberikan. Kami
berasa agak tergamam kerana telah pun membayar wang pendahuluan. Dekat setengah
jam, baru pihak inap desa tersebut menghubungi kami. Rupanya pengusaha tersebut
mempunyai urusan lain. Alhamdulilah.
Allah permudahkan urusan kami.
Malam itu, sempat kami
sekeluarga merasai seafood dan ikan
bakar di Umbai. Enak sekali. Sampai sudah lauk pauk yang diminta, tetapi tidak
pula nasi. Hairan juga kami apabila tidak disajikan nasi putih. Menurut pekerja kedai itu, disana
hanya akan diberi nasi yang berbungkus seperti nasi lemak, dan ada sambal
dibawahnya. Idea yang amat menarik. Kami kemudiannya meminta nasi putih kerana
agak kelaparan pada waktu itu.
Banyak juga tempat yang kami lawati, sekiranya mahu
bercerita satu per satu pasti tiada kesudahannya. Terlalu banyak yang tidak
boleh digambarkan dengan kata-kata sahaja. Perasaan pada ketika itu, amat
mengujakan.
1. Upside Down House
Kreatif dan cantik tempat yang
dipamerkan. Mereka juga ada mengajar cara mengambil gambar yang cantik. Pelbagai
gelagat dapat kami rakamkan sebagai kenangan.
2. Beca Melaka yang terletak di Bandar
Hilir,Melaka.
Cara
yang terbaik untuk menikmati pemandangan di Melaka serta untuk bersuka-ria
adalah dengan menaiki beca sambil menghayati panorama di Bandar Melaka. Beca ini membawa kami melalui jalan-jalan di
pusat bandar bersejarah Melaka. Pelbagai
jenis tema yang dihiasi di beca tersebut. Cantik!
3.The
Shore Oceanarium
Anak saudara saya begitu teruja tatkala tiba disini. Saya juga
tidak kurang terujanya. Disini amat sesuai untuk mereka yang ingin mengetahui
tentang hidupan laut seperti pelbagai jenis ikan, penyu, obor-obor dan banyak
lagi spesis hidupan laut lain.
Teruja
sungguh apabila dapat memegang ikan tersebut.
4.
Sky Tower
Disini merupakan tempat tertinggi di
Melaka. Jelas menampakkan bahagian Melaka. Kami tidak melepaskan peluang untuk merasai
dan melawan rasa gayat dalam diri. Seronok sekali.
Bergambar
di puncak teratas.
Terdapat
juga kolam yang mempunyai pelbagai jenis ikan.
Begitulah sedikit sebanyak travelog
perjalanan kali ini. Harap dapat membantu anda sekiranya ingin melawati Melaka.
Ini sahaja coretan buat entri kali ini. Salam mesra semua.
Sekian,
Siti Kalsum :)
No comments:
Post a Comment